Sunday, 21 October 2012

Ayah, saya sayang ayah!!


Oleh: Fiqa Nsz


Aku masih termenung di jendela bilik ku. Kicauan burung-burung di pepohon di luar rumah begitu mengusik jiwa ku. Aku terpandang potret yang tergantung kemas di dinding kamar ku yang membawa satu nostalgia kepada ku. Tiba-tiba aku terkenang peristiwa yang berlaku kira-kira dua tahun dahulu. Peristiwa hitam itu masih segar di dalam kotak ingatanku. Peristiwa yang benar-benar mengubah corak hidup ku.

“Hafiz, sekarang sudah masuk waktu zuhur. Tutup radio dan pergi bersiap untuk ke masjid”, ayah ku mengingatkan ku.

“Ayah, Hafiz baru nak layan lagu Bunkface, kacau daunlah ayah ni”, aku menjawab dengan nada yang menyakitkan hati ayah. Ayah cuma menggeleng. Kecewa dengan sikap anaknya yang semakin membesar semakin melawan.

Petang itu, aku pergi ke bandar bersama kawan ku, Afiq, tanpa tujuan. Menyedari tiada apa lagi yang hendak ku buat, aku akhirnya pulang ke rumah yang lima batu jauhnya dari bandar.

Setibanya aku di rumah, tiada lampu yang terpasang. Ayah mesti sudah masuk tidur, fikirku. Apabila aku melangkah masuk ke dalam rumah, kelihatan ayah ku sedang menunggu ku dengan rotan di tangan.

“Pukul 12 malam kamu balik, kamu pergi mana?” Ayahku menyoal tegas.

“Pergi bandar dengan kawan, saja jalan-jalan, kenapa tak boleh?” Sengaja aku memberikan jawapan sebegitu untuk menyakitkan hati ayah.

“Zhapp!” Satu ayunan tidak semena-mena hinggap di badan ku yang cukup membuatku menderita. Aku tergamam. Tiba-tiba terpacul keluar perkataan ini daripada mulutku, “Saya benci ayah!” Aku terus meluru ke kamar ku meninggalkan ayah yang dalam keadaan kecewa.

* * * *

Keesokannya, aku terus pergi ke sekolah tanpa mencium tangan ayahku. Aku masih marah dengan ayahku.

 Tiba-tiba suara halus berbisik ke telingaku. “Hafiz, tak payahlah kau ke sekolah, kau ponteng, biar ayah kau malu dengan pihak sekolah. Lagipun, bukannya ada apa-apa di sekolah, nanti kena marah dengan cikgu saja adalah”. Aku tidak jadi ke sekolah.

“Rasakan!!” Aku menjerit di dalam hatiku. Aku terus berjalan ke bandar tanpa perasaan bersalah. Dalam perjalanan, aku terserempak dengan Afiq, kawan baik ku. Aku memberitahu niat jahatku. Afiq pula cuma mengiakan sahaja. Itu yang membuatkan aku suka berkawan dengannya.

* * * *

Semakin lama, perangaiku semakin keterlaluan. Hampir seminggu aku tidak ke sekolah. Aku sudah hilang semangat untuk belajar. Guru tingkatan ku sudah mengesyaki bahawa selama ini aku tidak hadir ke sekolah kerana ponteng. Tanpa pengetahuan aku, pengetua telah menemui ayah untuk berbincang perihal ku yang acap kali tidak hadir ke sekolah.

Malam itu, aku dimarahi teruk oleh ayah. Aku yang masih memendam perasaan marah terhadap ayah yang suatu ketika dahulu merotanku, makin bertambahlah rasa benci terhadapnya. Marah ku semakin melaut, malahan tidak pernah surut. Ayah umpama membubuh garam ke luka, itu tanggapanku.

* * * *

Hari ini genap umurku 14 tahun. Kedengaran suara ayah memanggil ku, “Hafiz, mari sini sekejap”, panggil ayah. Aku melangkah longlai menuju ke ruang tamu.

“Ada apa ayah?” Aku menyoal dengan nada yang agak tinggi.

“Nah, ambil ni hadiah daripada ayah. Selamat Hari Lahir yang ke-14, nak”, ayahku berkata, lembut. Aku merampas sahaja hadiah itu dari tangan ayah. Tanpa ungkapan terima kasih, tanpa menunjukkan reaksi gembira, aku berlalu pergi. Aku tidak tahu mengapa aku sungguh tega melakukan ayah sedemikian rupa. Aku berpaling sebentar. Jelas terpancar kekecewaan dan kesedihan pada raut wajahnya. Hadiah yang ayah beri aku biarkan sahaja. Malas rasanya mahu melihat isi dalamnya.

* * * *

“Hafiz, ayah nak pergi ke laut, jaga diri baik-baik ya, nak”, ayahku berkata. Nadanya jelas kedengaran seperti orang yang berada dalam kesedihan. Aku lansung tidak menjawab. Aku lebih rela membatukan diri di dalam bilik.

Setelah ayahku berangkat pergi, aku lantas memasang radio yang terletak di atas meja. Sesudah itu, aku menghempaskan badanku di atas tilam usang yang tidak begitu empuk. Aku mengelamun sendirian.

“Kringg, kringg..”. Deringan telefon memecahkan kesunyian yang sudah lama terbina. Sungguh jelas sekali kedengaran di ruang tamu. Dengan malas, aku melangkah ke ruang tamu untuk mendapatkan telefon.

“Assalamualaikum, Hafiz ada?”. Suara yang aku tidak kenali. Siapa agaknya, getus hati kecilku.

“Waalaikumsalam, ni Hafiz. Boleh saya tahu ni siapa?”  Tanyaku yang masih dalam keadaan ragu-ragu.

“Ini Pak Mail, kawan ayah kamu”.

Aku bertambah keliru. Ada apa orang tua ini telefon, fikir ku.

“Ayahmu, sudah tiada lagi nak”, suaranya seperti tertahan-tahan.

“Semasa ke laut, bot yang ayah mu naiki telah karam dipukul ombak besar, malangnya, ayah mu tidak dapat ditemui”, sambung Pak Mail dalam nada kesedihan.

Ganggang telefon yang aku pegang erat dari tadi terlepas daripada tanganku. Aku segera ke kamarku lantas mendapatkan hadiah pemberian ayah semalam. Ternyata ia merupakan sebuah potret ayah bersama ku. Sekeping warkah disisipkan bersama potret pemberian ayah. Aku membuka warkah itu lalu membaca isi kandungannya,

Kepada anak ku sayang, Mohamad  Hafiz bin Mohamad.

            Hari ini, ketika Hafiz membaca warkah ini, mungkin ayah sudah pergi jauh. Ayah tahu Hafiz marahkan ayah. Tapi itu bukan bermakna ayah benci Hafiz. Ayah sayangkan Hafiz. Ayah sayangkan Hafiz. Hafiz merupakan satu-satunya anak tunggal ayah. Ayah amat berharap supaya Hafiz belajar bersungguh-sungguh supaya tidak mengalami nasib yang sama seperti ayah yang hanya bekerja sebagai nelayan yang pendapatannya pun tidak seberapa. Ayah harap ayah dapat membimbing dan mendidik Hafiz supaya menjadi anak yang baik. Tapi, ayah gagal. Ayah tak salahkan Hafiz kerana ini semua salah ayah. Janganlah kau tangisi pemergian ayah. Harapan ayah, agar Hafiz dapat mencapai apa yang Hafiz cita-citakan suatu hari nanti. Wassalam.

Ayahmu sayang, Mohamad bin Abdullah.

            Aku terkesima. Aku bagaikan diserang histeria. Aku menjerit-jerit, “Ayah, Hafiz sayang ayah!” Berulang kali. Selama ini aku menyakitkan hati ayah. Aku menangis sepuas-puasnya. Zalim sungguh aku.

            “Hafiz, dah maghrib, kau dah mandi?” pertanyaan Pak Mail mengejutkan aku dari lamunan. Ya, sekarang Pak Mail ialah ayah ku. Aku sudah mengaggap Pak Mail seperti ayah kandungku sendiri. Pak Mail telah mengambil ku sebagai anak angkat kerana aku tidak punya siapa-siapa lagi.

            “Ayah, Hafiz sayangkan ayah. Maafkan Hafiz kerana tidak menjadi anak yang baik semasa ayah ada”, aku berkata sendirian sambil menatap potret pemberian arwah ayah.

            Di dalam hati kecilku, aku berazam untuk belajar bersungguh-sungguh demi menunaikan amanat arwah ayah supaya berjaya dan menjadi manusia yang berguna di dunia dan di akhirat. Al-Fatihah buat ayah…


No comments:

Post a Comment

thanks a lot for the comment :D
*your comment will be publish later.