Sunday, 21 October 2012

Pejuang Jihad

oleh: Fiqa Nsz

Aku termenung ke luar jendela. Di sebalik birai yang semakin melusuh itu, terpancar cahaya suria yang menyinari sehingga tampak keserian alam ciptaan Tuhan yang Maha Esa. Indah. Aku menarik nafas sedalamnya. Kemudian, menghembus kembali dengan perlahan- lahan. Nyaman. Angin yang bertiup sepoi- sepoi bahasa menambahkan rasa nyamanku. Seketika, mataku melirik ke luar. Warna- warni bunga- bungaan yang menghiasi pokok renek yang dilitupi dengan dedaun hijau muda itu menarik perhatianku. Subhanallah. Allah Maha Berkuasa memberi nikmat mata untuk melihat alam ciptaannya. Allah juga berkuasa menarik kembali nikmat yang telah diberikan kepada hambanya. Lalu aku terpandang pokok renek yang bunganya oren- oren kekuningan. Warna bunganya semakin pudar. Serinya semakin menghilang. Semakin layu menyembah bumi. Aku beristighfar berulang kali. Takut sekiranya aku seperti bunga tadi.

            Saat ini, aku teringatkan kata- kata terakhir seorang sahabat. Bukan sekadar sahabat, tetapi seorang pejuang. Sahabat pejuangku ini aku ibaratkan seperti bunga yang berwarna- warni itu. Akhlaknya. Budi perkertinya. Sentiasa mekar dengan keikhlasan yang tulus.

            “Hakim, berjanjilah dengan aku supaya engkau sentiasa mendekatkan dirimu kepada Allah. Sentiasa mengamalkan apa yang diperintah oleh Allah dan menghindarkan diri daripada maksiat. Kerap kali bertasbih, bertahmid, beristighfar kepada Allah. Apa- apa yang bernyawa pasti akan mati. Oleh itu, engkau hendaklah sentiasa mengingati mati, supaya menambahkan rasa takutmu kepada Allah S.W.T”.

            Kata- katanya itu kerap kali bermain di fikiranku. Kata- kata itulah yang menjadi pedomanku. Kata- kata seorang pejuang jihad. Segala- galanya bermula apabila sahabatku ini menyatakan hasrat murninya itu.

            Muhammad Ehsanul Hafizi. Nama ini kekal dalam sukmaku. Inilah sahabat yang sentiasa membawaku mendalami akhirat. Sahabat yang sentiasa mekar dengan senyuman yang mendamaikan.

            “Hakim, aku akan pergi ke bumi Palestin. Aku mahu membantu mereka dalam mempertahankan maruah agama Islam. Tidak sanggup aku membiarkan mereka dihina oleh parasit Israel durjana itu”, luah Hafizi.

            Aku cuma terdiam. Sejenak aku terfikir, apakah tujuan sebenar sahabatku ini?

            “Hafizi, jika engkau ingin membantu mereka di sana, apakah yang akan kau lakukan?” Sengaja aku memberikan pertanyaan sebegitu. Aku ingin menguji sedalam mana hasratnya itu.

            “Hakim, insya-Allah aku dengan sedaya upaya membantu mereka, memberikan bantuan perubatan dan semangat kepada saudara di Palestin. Kalau perlu, aku akan bersatu membantu mereka menegakkan syiar Islam demi menentang Israel”, ujar Hafizi yang merupakan bekas pelajar kelulusan perubatan Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Bibirnya sentiasa melafazkan kata- kata dengan nada yang menampakkan kesungguhannya.

            “Tetapi Hafizi, keadaan di Palestin tidak stabil. Mungkin kau boleh tercedera, tambahan lagi dengan pengganas- pengganas Zionis yang masih hidup bebas di sana”, aku menyatakan kerisauanku.

            “Muhammad Hakim, setiap yang bernyawa pasti akan menemui ajalnya. Tidak kiralah di mana- mana tempat sekalipun. Muda atau tua, semuanya itu sudah ditetapkan Allah sejak di Luh Mahfuz. Andai itu suratan takdirku, aku redha”, katanya lagi.

            Aku sudah menjangkakan perkara ini. Hafizi tetap teguh dengan pendiriannya. Walau sederas mana air sungai yang menempuh tiang pendiriannya, ia tetap teguh. Tetap utuh.

* * * *

Hari berganti hari. Bulan bersilih ganti. Sehinggalah Ramadhan Al-Mubarak menjelang tiba. Bulan yang dipenuhi dengan rahmat Allah. Tatkala dedaun hijau menitiskan embunnya, kedengaran suara merdu Hafizi yang mengalunkan bacaan ayat- ayat Al-Quran dengan penuh khusyuk. Bertaranum. Bertajwid. Hatiku tersentuh saat itu. Mengikuti kisah dari surah yang dibacakan oleh Hafizi. Surah Al-Waqia’ah. Surah yang menceritakan tentang hari kiamat. Hari penentu segalanya.

“Hakim, bacalah Al-Quran ini seikhlas hatimu, fahami dan amalkan lah. Al-Quran, khalam suci ini merupakan khalam agung yang menghubungkan kita tatkala kita berjauhan. Khalam ini merupakan ubat, penawar untuk merawat kerinduan kita apabila berjauhan”, ujar Hafizi sambil menghulurkan kitab Al-Quran kepadaku dengan iringan senyuman yang tenang bak air di tasik damai. Aku menyambutnya, lalu memeluk Hafizi dengan erat.

“Terima kasih, Hafizi. Jagalah dirimu baik- baik. Assalamualaikum”, ujarku sebelum melepaskan Hafizi daripada dakapan.

“Waalaikumsalam, sentiasa mengingati Allah S.W.T”, pesannya sebelum berangkat pergi. Aku melihatnya pergi. Ya, sahabatku pergi berjuang. Sungguh, aku terharu. Air mataku turun membasahi pipiku tanpa ku sedari. Sekali lagi dia menoleh ke arahku. Senyumannya sangat manis, semanis madu saat itu. Aku cuma membalasnya dengan senyuman yang hambar. Entahlah, walaupun aku sudah merelakan dia pergi ke sana, aku tetap takut kehilangan sahabatku yang paling disayangi.

* * * *

Malam sebelum Hari Raya Aidilfitri, Hafizi menelefonku. Waktu itulah, aku manfaatkan untuk melepaskan kerinduan yang telah lama terbuku di lubuk jiwaku.

“Assalamualaikum, Hakim”, ujar suara di corong telefon.

“Waalaikumsalam,.. Hafizi?”

“Ya, tepat tekaanmu. Bagaimana dengan puasamu?” tanya Hafizi lagi
.
“Alhamdulillah, penuh. Bagaimana dengan keadaan kau di sana? Kau sihat? Sudah membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri esok?” Bertalu- talu soalan keluar dari mulutku. Sungguh, terlalu banyak persoalan yang berlegar- legar di benakku.

“Alhamdulillah, sihat wal’afiat.  Persiapannya ala kadar sahaja. Bagaimana pula dengan kamu, Hakim?”

“Aku sihat..macam biasa persiapannya. Maklumlah, raya bersendirian. Housemate dah tak ada di sini. Lainlah kalau engkau ada sekali di Malaysia, tidaklah aku berasa sunyi sangat..”, ujarku dalam nada gurauan, menyembunyikan sebak di dada.

“Aku minta maaf sebab aku belum boleh pulang ke Malaysia. Urusan aku di Palestin belum selesai lagi. Setakat ini aku baru tunaikan cita- citaku untuk memberi pertolongan lahiriah, tetapi yang internal belum lagi. Harap kau mengerti ya?” Ujarnya lagi.

“Ya, aku faham maksudmu itu, Hafizi. Aku harap engkau cepat- cepat balik ya, aku ada buatkan mu nasi himpit, rendang, lodeh dan kuah kacang resepi asli tradisi Johor yang engkau gemari”, kataku penuh pengharapan.

“Insya-Allah. Kalau dipanjangkan umur, kita jumpa nanti. Tetapi, sebelum aku hendak letak telefon ini, aku mahu pesan satu perkara”, kata Hafizi.

“Baiklah, apa dia? “ tanyaku dengan perasaan ingin tahu yang mendalam.

“Hakim, berjanjilah dengan aku supaya engkau sentiasa mendekatkan dirimu kepada Allah. Sentiasa mengamalkan apa yang diperintah oleh Allah dan menghindarkan diri daripada maksiat. Kerap kali bertasbih, bertahmid, beristighfar kepada Allah. Apa- apa yang bernyawa pasti akan mati. Oleh itu, engkau hendaklah sentiasa mengingati mati, supaya menambahkan rasa takutmu kepada Allah S.W.T”, ujarnya, syahdu sekali.

Saat itu, aku lansung tidak menyedari apa- apa kelainan yang terdapat pada kata- katanya. Bagiku, Hafizi seorang insan yang suka menasihati orang lain.

* * * *

Allahuakhbar, Allahuakhbar, Allahuakhbar. Lailahailla Allahu Allahu akhbar. Allah akhbar walilla hilhamd..”.

Takbir raya berkumandang menambahkan rasa syahdu ku. Terbayang- bayang wajah tenang Hafizi ketika mengenakan baju Melayu pada raya tahun lepas. Ketika itu, aku bersalaman dengan dia. Kami saling bermaaf- maafan. Kemudian kami menikmati kelazatan rezeki yang telah dikurniakan-Nya yang telah kami siapkan bersama pada malam sebelum raya. Aku masih teringatkan kata-katanya pada pagi raya itu.

“Alhamdulillah, enak sungguh rasa ketupat ini dicecah dengan rendang dan kuah kacang yang engkau masak ini. Rasanya memang menjilat jari. Hakim, kau sememangnya chef terhebat!” katanya penuh teruja.

Aku tersenyum melihat gelagatnya. Hafizi ini memang pandai mengambil hati orang, getus ku.

“Hafizi, kalau dah sedap tu tambah lah lagi” ujarku, sambil menggeleng- gelengkan kepala.

“Baiklah, tetapi nanti selepas solat Hari Raya. Dah, jom kita pergi ke masjid!” ujarnya lagi.

“Kring.. kring.. kring…”. Bunyi deringan telefon serta merta telah memecahkan dinding lamunanku. Aku segera bangkit untuk mendapatkan telefonku di ruang tamu. Lalu, aku menekan punat tengah.

“Assalamualaikum..” ujarku memulakan bicara.

“Waalaikumsalam, saudara Hakim?” Tanya suara di corong telefon.

“Ya, saudara ini siapa?” Soalku kehairanan. Kali ini aku tidak dapat meneka siapa gerangan yang sedang menelefonku.

“Ana Hisham, sahabat Muhammad Ehsanul Hafizi yang berada di Palestin. Ana ingin menberikan pengkhabaran kepada anta tetapi ana berharap anta dapat bersabar”, ujar suara itu dengan sebak.

Aku cuma diam membisu. Perasaan berdebar- debar mulai menguasai diriku. Jantungku berdegup dengan pantas.

“Saudara Hafizi telah gugur syahid pada kejadian yang menyedihkan yang telah melanda salah satu bangunan di Palestin semalam. Bangunan yang dihuninya telah di bom oleh pengganas- pengganas Israel. Saudara Hafizi telah menyelamatkan seorang kanak- kanak daripada runtuhan itu. Malangnya, saudara Hafizi..”, ujar suara itu dengan sedu sedan.

Telefonku terlepas dari genggamanku. Terkejut amat. Saat itu terbayang wajah Hafizi yang tenang dan tidak pernah lekang dengan senyumannya yang mendamaikan. Tanpa ku sedari, air mataku mengalir turun  dengan laju. Deras. Aku tidak menyangka sama sekali sahabatku telah menyambut seruan illahi. Baru semalam aku mendengar suaranya, namun rupa- rupanya itu yang terakhir. Aku redha. Redha dengan ketentuan-Nya. Ya, ajal maut di tangan Allah.

* * * *

“Abang, marilah kita berangkat ke masjid”, ujar isteriku, Amalia Huda, mematikan lamunan ku. Sekarang ini aku sudah berumah tangga dan telah dikurniakan dua orang cahaya mata, lelaki dan perempuan. Jika Hafizi masih ada, pasti dia pun sudah berumah tangga seperti aku. Tetapi baginya cita- cita itu lebih penting. Akhirnya, tertunailah hasratnya yang murni itu.

“Hafizi, sesungguhnya engkau termasuk dalam kalangan orang- orang yang muqarrabin..”.


   

No comments:

Post a Comment

thanks a lot for the comment :D
*your comment will be publish later.