Sunday, 21 October 2012

Tragedi 16 Mei

‘Prang!’. Pinggan kaca yang dipegang erat dari tadi oleh Adam jatuh berkecai menjadi kepingan- kepingan kecil lalu bertaburan di atas lantai dapur. Pantas bunyi  derapan tapak kaki yang keras dan kuat menuju ke arah dapur. Adam menggigil  ketakutan.
            ‘Phangg!’. Satu tamparan hebat menyambar pipi Adam. Warna kemerah-merahan serta- merta bertapak di situ.
“Mak, maafkan Adam. Adam tak sengaja”, ucap Adam menagih simpati.
“Ahh, jangan panggil aku mak, anak sialan!”, tengking Mak Tijah membuat Adam terkedu.
“Engkau ni, memang tak serik-serik! Kalaulah aku tahu dari dulu lagi kau ni pembawa sial, aku takkan….,” lontaran berduri Mak Tijah terpancung sebaik sahaja dia terpandang suaminya, Leman di muka pintu dapur.
“Tijah, jangan bercakap yang bukan-bukan depan Adam”,  Pak Leman
bersuara dengan wajah serius.
“Awak ni memang terlalu manjakan anak kesayangan awak itu aja”, sindir Mak Tijah, pedas.
“Tijah, anak itu amanah dari Tuhan. Abang bagi kasih sayang yang sama rata pada anak-anak kita. Tak ada seorang pun yang abang lebihkan. Sudahlah, tak baik cakap macam tu depan anak-anak. Adam, masuk tidur sekarang, esok pagi- pagi kamu nak ke sekolah”, Pak Leman menumpahkan pandangannya ke wajah Adam dengan penuh kasih sayang.
Adam yang sedari tadi menonton sketsa ibu bapanya cepat- cepat bangun dan terus bersalaman dengan Pak Leman dan Mak Tijah. Lalu Adam masuk ke dalam kamarnya. Usai menunaikan solat Isyak, Adam menghempaskan badannya ke atas katil bujang yang sudah usang. Adam berkali- kali mencuba untuk melelapkan matanya, namun tidak berjaya. Adam terngiang- giang akan kebenaran kata- kata Mak Tijah sebentar tadi.
                                      *  *  *  *
          “Emak, Adam pergi sekolah dulu!”, jerit Adam yang sudah berada di
luar rumah. Pak Leman pagi-pagi buta lagi sudah ke kebun. Adam menyeluk
poket seluarnya. Ya, dia terlupa sesuatu. Adam pantas melangkah masuk ke dalam rumah.
         “Emak, mana duit belanja Adam?”, soal Adam, penuh kerisauan.  Mak Tijah memandang Adam dengan renungan tajam. Ibarat pedang yang dihunus tepat ke dada.
          “Mulai hari ini, kau bawa bekal saja ke sekolah. Nah, ambil ni! Jimat sikit duit!”, tengking Mak Tijah selamba lalu mencampakkan bungkusan makanan itu tanpa sekelumit pun ihsan.
           Adam tergamam. Lalu cepat- cepat mengutip rezekinya itu di lantai. Lantas Adam bersalaman dengan  Mak Tijah yang merenung  Adam seperti harimau buas yang mahu menerkam mangsanya. Dia cepat-cepat keluar memakai kasut dan terus berjalan menuju ke sekolah.
                                        *  *  *  *
Sudah hampir sebulan Adam membawa bekal ke sekolah. Menunya
tetap sama. Cuma bertukar cara masakannya sahaja. Jika tak digoreng, direbus.
“Hari- hari kamu bawa bekal ubi kayu saja, tak muakkah Adam?” , tanya Rajoo kehairanan.
“Ini saja yang ada, aku makan sajalah, rezeki juga bukan?”.
“Tapi Adam, aku lihat adik kau Amin dan Tika itu hari- hari bawa duit ke sekolah, boleh pula?”, sampuk Ah Chong, yang duduk bersebelahan dengan Adam.
Adam tidak mempedulikan kata- kata Ah Chong. Adam khusyuk menikmati bekalan ubi kayu rebus yang dibawanya dari rumah. Sebenarnya, Adam terasa akan kata- kata sahabatnya. Dia berusaha melawan kesedihannya. Seorang wanita yang cantik, berbaju kurung moden muncul di hadapan mereka bertiga. Terkejut Adam dibuatnya. Mujur makanan yang sedang dikunyahnya sempat ditelan.
“Anak- anak di mana kelas 6 Cemerlang? Cikgu baru mendaftar masuk hari ini, jadi tak berapa tahu selok-belok sekolah ni,” wanita yang memakai tag nama ‘ANITA’ di tudungnya melontar pertanyaan dengan lemah lembut.
“Oh, itu kelas kami, cikgu,” tiga sekawan itu berkata serentak. “Marilah, cikgu,” sambung Adam lagi.
                                                       *  *  *  *
Sudah hampir sebulan Cikgu Anita mengajar di Sekolah Kebangsaan
Bukit Tuah. Selama itu jugalah Cikgu Anita mendengar pelbagai masalah daripada anak muridnya terutama sekali, Adam. Adam selalu murung dan bersedih. Pernah satu hari Adam datang berjumpa Cikgu Anita dengan badan yang berbirat- birat. Apabila ditanya sebabnya, dia memberitahu cuma gara- gara terlupa menyapu sampah di rumah, ibunya memukul sampai begitu sekali. Itupun setelah berkali- kali barulah Adam mahu membuka cerita. Cikgu Anita menggeleng kepala, sambil mengurut dada, sebak pabila mendengar luahan Adam. Cikgu Anita lantas memberi dorongan kepada Adam supaya cekal dan tabah menghadapi dugaan.
“Cikgu, saya pernah tanya ibu, kenapa dia selalu mendera saya..,” Adam memulakan perbualan dengan teragak- agak semasa waktu rehat di Bilik Kaunseling.
“Apa jawabnya?”.
“Dia cakap saya ni cuma anak kutip, cikgu. Sampai sekarang ni saya masih memikirkan kata- kata ibu,” sambung Adam, dengan wajah sayu.
“Sabarlah, Adam. Mungkin amarah sedang melanda ibu kamu, sebab itulah dia tanpa disedari terkata yang tidak sepatutnya kepada kamu,” nasihat Cikgu Anita kepada Adam. Sebenarnya, Cikgu Anita terfikir akan kata- kata ibu Adam itu ada benarnya. Tambahan pula, dengan layanan ibunya kepada Adam jelas menampakkan perbezaan berbanding dengan layanan kepada adik- adiknya.
“Terima kasih cikgu kerana sudi mendengar masalah saya. Sekarang ni, baru saya lega dan tenang selepas mendengar nasihat daripada cikgu,”, kata Adam, kembali ceria.
“Sama- sama, lagipun ini memang tugas cikgu,” balas Cikgu Anita, tersenyum manis.
“Tak lupa ini juga berkat nasihat Rajoo dan Ah Chong supaya saya tidak menyimpan apa yang terbuku di dalam hati saya ni,” tambah Adam.
Sejurus Adam melangkah pergi dari Bilik Kaunseling, Cikgu Anita masih memikirkan Adam. Ah, mungkin itu disebabkan kerinduan aku saja, getus hati Cikgu Anita.
                                   *  *  *  *
Hari ini, tanggal 16 Mei merupakan hari yang paling besar maknanya bagi Cikgu Anita. Juga hari yang paling bersejarah buat dirinya. Tarikh 16 Mei mengimbau memorinya pada tragedi yang berlaku dua belas tahun yang lepas. Peristiwa yang telah meragut nyawa dua insan yang tercinta, iaitu suami dan anaknya.
Pagi- pagi lagi, Adam sudah menunggu Cikgu Anita di tempat letak kereta. Adam mahu menjadi orang yang pertama sekali mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada Cikgu Anita. Di tangannya, tergenggam sebuah bungkusan yang kemas berbalut rapi buat Cikgu Anita.
“Hai Adam, Cikgu Anita hari ni tengah hari baru datang. Cikgu ada urusan penting, katanya mahu melawat kubur suaminya dulu,”  tegur Rajoo apabila ternampak Adam.
“Iyalah Adam, jomlah kita masuk ke kelas dahulu,”, sampuk Ah Chong yang jalan beriringan dengan Rajoo. Lalu mereka bertiga mula menuju ke kelas 6 Cemerlang. Hadiah istimewa buat Cikgu Anita itu Adam simpan kembali di bawah meja.
                                        *  *  *  *
“Cikgu, nah ni hadiah daripada saya. Selamat Hari Guru, cikgu..”, kata-kata Adam jelas menggambarkan keceriaan yang berbunga mekar.
Cikgu Anita membelek bungkusan yang diberi oleh Adam dengan teliti. “Adam, cikgu buka sekarang, boleh?”.
“Eh, jangan, jangan buka dulu. Kalau cikgu nak buka sekarang, saya kena pergi dulu,...Assalamualaikum..,” balas Adam lalu terus melintas jalan dengan cepat tanpa menoleh ke kiri dan kanan.
Cikgu Anita terpandang sesuatu objek laju yang menuju ke arah Adam membuatkan dia terpana.
 ‘Dumm!’.
Sebuah kereta tanpa belas melanggar Adam lalu terus memecut pergi. Kejadian itu berlaku begitu pantas dan dengan sekelip mata sahaja. Cikgu Anita telah menyaksikannya dengan matanya sendiri. Cikgu Anita tergamam. Titis jernih mulai turun membasahi pipinya. Sebak menyulubungi dirinya. Cikgu Anita terus meluru ke arah Adam yang terbaring longlai.
                                          *  *  *  *
“Puan, murid Puan ini telah kehilangan darah yang banyak. Dia memerlukan derma daripada jenis darah yang sama. Tetapi, tiada seorang pun ahli keluarganya yang jenis darahnya sama dengan Adam, Puan”, terang Doktor Anis.
Kerisauan tidak semena- mena hinggap di wajah Cikgu Anita. Perasaan takut yang teramat. Mahu sahaja Cikgu Anita menangis dan merayu kepada sesiapa sahaja yang berada di situ. Apa yang penting baginya, Adam dapat diselamatkan.
“Untuk pengetahuan Puan, kami mendapati peluang Adam untuk hidup adalah sangat tipis kerana dia menghidap penyakit jantung berlubang. Dia kini berada dalam keadaan kritikal.” ,sambung Doktor Anis lagi.
Cikgu Anita terkedu. Terkejut dengan kenyataan Doktor Anis tadi. Dia rebah ke bumi. Longlai. Cikgu Anita seperti orang yang tersentap dari lamunan yang panjang. Sebak di dadanya menghimpit jiwa sehingga sukar untuk Cikgu Anita bernafas.

                                           *  *  *  *
Adam membuka kelopak matanya dengan perlahan- lahan. Dia cuba untuk memfokuskan pandangannya pabila terpandang figura di hadapannya kerana penglihatannya masih kabur. Dia tersenyum lemah. Tangan yang mengusap lembut Adam menghangatkannya yang dalam kesejukan. Adam seperti merasakan kehangatan kasih sayang dari seorang ibu yang didambakannya selama ini.
“Cikgu…, i…bu..,” nada suara Adam amat perlahan.
“Terima kasih…,” Akhirnya dia menutup kembali kelopak matanya.
“Adam! Jangan tinggalkan cikgu, jangan tinggalkan ibu!” , kata Cikgu Anita dalam esak tangis. Semacam histeria. Adam sememangnya merupakan anak biologi Cikgu Anita yang disangka telah meninggal dunia dalam tragedi 16 Mei dua belas tahun yang lepas. Tuhan itu Maha Kaya, telah menemukan kembali anaknya sebelum dia pergi menyambut seruan illahi buat selama- lamanya.

                                            *  *  *  *
Usai menyiram air bunga mawar ke atas kubur arwah Adam, Cikgu Anita sempat membacakan Yassin buat arwah suami  dan anak yang tercinta. Setelah itu, Cikgu Anita melangkah sayu menuju ke kereta Kancil miliknya. Cikgu Anita segera teringat akan pemberian Adam. Dia membuka pembalut bungkusan itu dengan berhati- hati. Ternyata, isinya merupakan ubi kayu yang belum dimasak yang berbentuk hati. Tidak pernah Cikgu Anita melihat ubi kayu yang sedemikian rupa. Di bawah ubi kayu itu terselit sepucuk surat yang dilipat kemas. Cikgu Anita membukanya dengan perlahan- lahan.

Kepada Cikgu Anita yang tersayang,
            Terima kasih kerana telah memberikan sepenuh kasih sayang cikgu untuk Adam. Adam memang sudah menganggap cikgu sebagai ibu Adam sendiri. Adam  cuma berharap dapat ibu macam cikgu. Siang malam Adam berdoa supaya dapat menemui kebenarannya suatu hari nanti. Moga Adam dapat berjumpa dengan ibu sebenar Adam. Sayang cikgu. Selamat tinggal, semoga cikgu berbahagia selalu.
                                                                                                                   -Adam
Cikgu Anita menyeka air matanya. Perlahan- lahan dia menyimpan kembali bungkusan itu. Cikgu Anita menghidupkan enjin keretanya lalu terus memacu pergi ke sekolah lamanya.Cikgu Anita melihat sekilas sebelum beredar pergi. Cikgu Anita mahu berhijrah. Jauh dari tempat tragedi ini. Namun, memorinya pada tanggal 16 Mei tidak akan sekali- kali terpadam dalam ingatan.
“Adam, ibu sayang kamu juga,” Cikgu Anita bermonolog sendirian sambil tersenyum lalu kembali meneruskan perjalanannya yang masih jauh.

No comments:

Post a Comment

thanks a lot for the comment :D
*your comment will be publish later.