Wednesday, 13 November 2013

Hari Arsyura - Sejarah, Peristiwa, Perkara Sunat yang dilakukan dan Kelebihannya.




Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram. 

Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.






Peristiwa Penting Yang Berlaku Pada Hari Arsyura 


Tanggal 10 Muharram dinamakan juga hari Asyura kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi pejuang yang gigih menegakkan syiar Islam. Antaranya :

1. Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi. 
2. Allah jadikan bulan, bintang, matahari dan cakrawala. 
3. Allah jadikan Arasy, Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat. 
4. Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam. 
5. Allah menjadikan Siti Hawa. 
6. Allah menjadikan Syurga. 
7. Dimasukkan Nabi Adam ke dalam Syurga. 
8. Taubat Nabi Adam diterima Allah. 
9. Nabi Noh diselamatkan oleh Allah keluar dari bahtera setelah bumi tenggelam selama enam bulan. 
10. Nabi Ibrahim dilahirkan dan 10 Muharram juga Baginda diselamatkan Allah daripada pembakaran Raja Zamrud.
11. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa. 
12. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara. 
13. Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah. 
14. Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya. 
15. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.
16. Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.
17. Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut. 
18. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar. 
19. Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan. 







Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura


  1. Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
  2. Melapangkan masa / belanja anak dan isteri
  3. Memuliakan fakir miskin
  4. Menahan marah
  5. Menunjukkan jalan yang lurus/membetuli orang sesat/orang yang salah(terpesong aqidah(tauhid) dan akhlaknya)
  6. Menyapu / mengusap kepala anak yatim(menghormati dan memuliakan mereka)
  7. Bersedekah
  8. Memelihara kehormatan diri
  9. Mandi Sunat dengan lafaz niatnya: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
  10. Bercelak
  11. Membaca Qulhuwallah(Surah Al-Ikhlas) hingga akhir seribu kali
  12. Sembahyang sunat empat rakaat dengan lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
  13. Menjamu orang berbuka puasa





Kelebihan Hari Arsyura

Kita juga digalakkan berpuasa pada hari ke-9 Muharram (Rabu, 13 November 2013) yang dipanggil Puasa Tasu’a supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura. (HR Bukhari)

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (HR Muslim)

Dari Salamah bin Akwa r.a. dia menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. mengutus seorang lelaki suku Aslam pada hari Asyura dan memerintahkan kepadanya supaya mengumumkan kepada orang ramai, "Sesiapa yang belum puasa hari ini hendaklahlah dia berpuasa dan siapa yang telah terlanjur makan hendaklahlah dia puasa juga sejak mendengar pengumuman ini sampai malam". (HR Muslim)

Dari Ibnu Abbas r.a katanya, "Penduduk Khaibar berpuasa pada hari asyura dan menjadikannya sebagai hari raya, dimana wanita mereka memakai perhiasan dan pakaian yang indah pada hari itu. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Puasalah kamu pada hari itu". (HR Muslim)

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah (9 Zulhijjah). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan tahun yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura (10 Muharram). Jawab baginda, "Dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (HR Muslim)

Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

- Sumber 1 - Sumber 2 -

5 comments:

thanks a lot for the comment :D
*your comment will be publish later.