Wednesday, 15 January 2014

Pelajar Degree Tahun Satu hilang 4 hari lalu mati ditemui di kawasan UNIMAS.

Kota Samarahan: “Hati saya kuat mengatakan mayat itu anak saya. Ini kerana saya kenal baju dipakainya,” kata seorang ibu susulan penemuan mayat dipercayai anaknya, Siti Najwa Atikah Azhar, 20, penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam anak sungai berdekatan sebuah kolej kediaman universiti terbabit, di sini, semalam.




    Mayat hampir reput itu ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pada jam 5.20 petang selepas berita kehilangan Siti Najwa diketahui pada Ahad lalu.


    Ibunya berusia 40-an dan enggan mendedahkan namanya berkata, dia yakin mayat itu anaknya berdasarkan pakaian dipakai walaupun sukar mengecamnya.


     “Kali terakhir Siti Najwa menghubungi saya pada 4 Januari lalu dan dia sempat memberi nasihat serta meminta saya menjaga kesihatan. Selepas itu, saya langsung tidak mendengar sebarang berita daripadanya.


     “Dalam perbualan itu, Siti Najwa sempat memberitahu dia tidak sabar pulang ke kampung pada 12 Januari lalu sebaik tamat peperiksaan semester.


    “Kehilangannya hanya disedari selepas dia tidak muncul di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang seperti dijanjikan menyebabkan kami cuba menghubunginya.


Foto
MAYAT dipercayai pelajar UNIMAS ditemui tidak jauh dari kawasan universiti.


    “Tetapi malangnya, panggilan tidak dijawab menyebabkan kami sekeluarga membuat laporan polis di Georgetown, Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


    Kehilangan Siti Najwa yang juga penuntut tahun pertama Program Khidmat Sosial dari Fakulti Sains Sosial UNIMAS mula disedari ahli keluarganya yang gagal menghubunginya sebelum meminta bantuan pihak pengurusan universiti terbabit untuk mengesan pelajar itu.


     Keadaan itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan ahli keluarganya, malah rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kolej kediamannya menunjukkan mangsa keluar sambil memakai telekung dan membawa al-Quran.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern ketika ditemui mengesahkan mengenai penemuan mayat terbabit.


     Katanya, laporan mengenai kehilangan penuntut terbabit dibuat pengurusan UNIMAS pada Ahad lalu dan gerakan mencari serta menyelamat dijalankan dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Unit Anjing Pengesan serta penduduk kampung berdekatan.


    “Polis tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berikutan keadaan mayat dengan sebahagian anggota hampir reput. Daripada maklumat diterima, mangsa kali terakhir ditemui rakannya pada 4 Januari lalu.


   “Mayatnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.” katanya.



*p/s: Al-fatihah buat akak senior yang meninggal dunia. Mudah-mudahan beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

2 comments:

thanks a lot for the comment :D
*your comment will be publish later.